Sunday, 11 December 2011
Thursday, 1 December 2011
KATA GANTI NAMA
Kata ganti nama, seperti yang telah diterangkan, ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. kata ganti nama boleh dibahagikan lagi kepada dua golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri pula dibahagikan lagi kepada kata ganti nama diri orang dan kata ganti nama diri tanya. Kata ganti nama diri orang pula terdiri daripada kata ganti nama diri pertama, kedua dan ketiga. Berikut ini diperincikan penggolongan kata ganti nama:
Kata ganti nama tunjuk
Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk itu.
Ada dua kata ganti nama tunjuk, iaitu ini untuk menunjuk pada yang dekat dan itu untuk menunjuk pada yang jauh.
Kata ganti nama diri
Kata ganti nama diri terbahagi pula kepada dua golongan, iaitu:
(i)Kata ganti nama diri tanya
Kata ganti nama jenis ini ialah perkataan yang merujuk benda atau orang dalam bentuk tanya. Ada tiga kata ganti nama diri tanya, iaitu:
apa –yang merujuk benda atau perkara
siapa –yang merujuk orang
mana –yang merujuk benda atau orang
Kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau penegasan. Misalnya:
apa -> apa-apa
mana -> mana-mana
siapa -> siapa-siapa (sesiapa)
(ii) Kata ganti nama diri orang
Kata ganti nama jenis ini mengandungi perkataan yang merujuk diri orang tertentu, iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga, seperti yang ditunjukkan di bawah ini:
(a) kata ganti nama diri orang pertama: saya, aku, beta, patik, kami dan kita
(b) kata ganti nama diri orang kedua: anda, engkau, awak dan kamu
(c) kata ganti nama diri orang ketiga: ia, dia, mereka dan –nya
Kata ganti nama orang ketiga –nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda.
Subscribe to:
Posts (Atom)